Pengerusi Perhebat, Leftenan Jeneral (B), Datuk Seri Abdul Aziz Ibrahim berkata, ketika ini, pihaknya mempunyai seramai 220,000 pesara tentera yang telah menjalani pelbagai kursus kemahiran kendalian pihaknya.

Ujarnya, berdasarkan rekod, se­­banyak 30 pesara tentera yang mengikut kursus berkenaan memilih membuka perniagaan sendiri.

“Antara bidang latihan yang kita berikan termasuk mekanikal, elektrik, perhotelan, katering dan keusahawanan.

“Kemahiran ini akan membantu mereka meneruskan kehidupan selepas menamatkan per­khid­matan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada usia awal 40-an,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Perhebat dengan Alion Nation Solution Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertahanan, Datuk Halimi Abdul Manaf dan Pengarah Urusan Alion Solution Sdn. Bhd., Tan Chin Kong.

Melalui MoU berkenaan, seramai 1,000 veteran ATM disasar memperoleh pekerjaan sebagai LED Installer bagi fasa pertama yang dijangka mampu meraih pendapatan melebihi RM3,000 sebulan.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, tahun ini pihaknya me­nyasarkan seramai 300 bakal pe­sara ATM baharu akan mengikuti latihan berkenaan.

“Seramai 62 peratus pesara ATM pula bekerja dengan syarikat-syarikat swasta selepas tamat perkhidmatan disebabkan kemahiran yang dimiliki mereka,” katanya.