Pengarah Kesihatan nege­ri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Baling akan membuat pemeriksaan dalam masa terdekat bagi melihat sama ada semua teguran yang dibuat terutama berkaitan proses penyedia­an makanan dipatuhi.

“Sekiranya pegawai Pejabat Kesihatan Daerah Baling ber­puas hati dengan tindakan yang diambil oleh pengusaha, maka gerai berkenaan akan dibenarkan untuk berope­rasi semula,” katanya kepada pemberita selepas melakukan operasi penguatkuasaan berhubung penjualan minuman beralkohol di sebuah kedai ubat di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya bersama Pejabat Kesihatan daerah berkenaan akan melengkapkan kertas siasatan berhubung kes tersebut mengikut prosedur di­tetapkan.

Akhbar pada 10 Oktober lalu melaporkan Kementerian Kesihatan mengeluarkan notis perintah tutup ke atas gerai laksa kebok di Kupang bermula 8 Oktober lalu kerana disyaki mempu­nyai kaitan dengan 19 kes keracunan makanan termasuk melibatkan dua kematian awal bulan ini.

Jumlah kes kemudian meningkat kepada 83 kes dengan dua kematian melibatkan kejadian di Kedah, Perak dan Selangor.

Ahad lalu, kementerian dalam satu kenya­taan mengesahkan agen penyebab keracunan ma­­­kanan itu berpunca daripada bakteria Salmonella Enterica Serovar Weltevreden.