Ketuanya, Diami Yusoff, 60, berkata, dia bersama rakannya, Mohd Zalani Zulkifli, 64 dan Mohamad Fadhli Ab Rashid, 40, yang kini berada di Madinah akan bertolak selepas waktu asar.

Katanya, motosikal kapcai yang menjadi peneman paling setia sepanjang misi yang masuk hari ke 81 hari ini pula akan 'dibungkus' dan diangkut dengan lori ke Jeddah.

"Apabila selesai menyempurnakan ibadat umrah, kami akan ke Jeddah untuk mengambil motosikal yang sampai lebih awal dengan lori.

"Kami akan tunggang motosikal masuk semula ke Mekah supaya kuda besi kami juga dapat menjejaki kota suci ini,"katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Sementara itu, Mohamad Fadhli pula berkata, mereka mengambil keputusan untuk menaiki bas atau kereta masuk ke Mekah dengan siap berpakaian ihram.

"Bila kita sudah berada di Madinah dan mahu menunaikan umrah, kita perlu niat ihram di 'miqat' Bir Ali, jarak antara Bir Ali dan Mekah adalah jauh kira-kira 300 kilometer.

"Tidak mungkin kita boleh menunggang motosikal dengan berpakaian ihram, kalau dapat pun tetapi dengan perjalanan sejauh itu kalau tercabut kain memang 'geger' nanti.

"Kami anggap misi sebenarnya sudah pun berjaya apabila dapat sampai dengan motosikal ke Madinah hingga ke hadapan Masjid Nabawi pada Sabtu lalu," katanya.

Mohamad Fadhli berkata, mereka amat terhutang budi dengan usahawan dari Kelantan, Datuk Rithsman Mohamed yang masih setia membantu sehingga kini sejak mula bersusah payah menguruskan proses kelulusan visa umrah yang lambat baru-baru ini. - UTUSAN ONLINE