Baginda bertitah, pada masa sama golongan tersebut juga diminta menjauhi daripada dadah dan tidak ponteng sekolah.

"Ia memerlukan komitmen dan perancangan holistik daripada segenap peringkat masyarakat untuk menjayakannya," titah baginda.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyerahan Bendera dan jersi kepada pasukan Pekola Paddling Club yang layak menyertai Temasya Sukan Air Putrajaya 2018 yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Seberang Ramai, Kampung Tengah, Kuala Perlis, semalam.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Presiden Persatuan Anak Perantauan Kola Peghelih (Pekola), Nasharuddin Amran dan wakil Persatuan Nelayan Negeri Perlis (Pelaris), Wan Shariman Wan Ali.

Turut hadir ialah Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Azam Karap.

Menyentuh mengenai pertandingan yang bakal disertai pihak pengurusan dan pendayung-pendayung pasukan tersebut di Putrajaya pada 29 dan 30 September ini, baginda menasihatkan mereka supaya kekal cekal, tingkatkan motovasi dan disiplin diri ketika latihan dan sewaktu pertandingan.

"Berusahalah bersungguh-sungguh dalam satu pasukan dan eratkanlah silaturahim di antara satu sama lain dan sebagai wakil tunggal dari Perlis, harumkanlah nama negeri ke peringkat yang membanggakan," titah baginda.

Untuk rekod, pihak Pekola telah banyak menyumbang bakti melalui sukan terhadap masyarakat di sekitar Kuala Perlis dengan menganjurkan pelbagai aktiviti yang melibatkan komuniti dan belia.

Persatuan itu juga menempa pelbagai kejayaan antaranya penganjuran kejohanan bolasepak merebut Piala Yang Amat Mulia Sharifah Farah Adriana, muncul naib juara pada Pesta Air Kuala Perlis 2017 dan menduduki tempat ke-5 Kejohanan International Dragon Boat di Pulau Pinang.

Terdahulu daripada itu baginda berkenan berangkat menyertai program kayuhan berbasikal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf dan menyampaikan agihan zakat berjumlah RM72,000 kepada seramai 120 orang asnaf terpilih di Masjid Kampung (Kg.) Seberang Ramai dan sekitar kawasan Kg. Wai di Kuala Perlis. - UTUSAN ONLINE