Menurut Perdana Menteri, gen-Y perlu memastikan hasrat mereka untuk berjaya mampu dicapai serta tidak mempedulikan apa yang orang lain akan berkata.


Sambil memberikan contoh pengasas Alibaba.com, Jack Ma dan pengasas bersama Apple, Steve Wozniak yang mampu untuk berjaya, Najib berkata, kedua-dua mereka ini tidak dikenali suatu ketika dahulu.


“Belia perlu bekerja keras untuk memenuhi impian mereka. Lihat contoh Jack Ma, beliau dulu hanya seorang guru manakala Wozniak pula pernah gagal dan berhenti dari universiti.


“Tidak mengapa jika kita tidak mampu menjadi seperti mereka tetapi sekurang-kurangnya kita penuhi impian kita untuk berjaya,” katanya ketika berucap merasmikan program Gen Y Green The City Melaka 2017 di Dataran 1Malaysia Klebang di sini sebentar tadi.


Perdana Menteri dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Dataran 1Malaysia Klebang 
diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dan isteri, Datin Seri Fadilah Abdullah.


Yang turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar serta Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman. 


Pada program itu, Perdana Menteri turut menanam arca mengandungi amanat dan harapan beliau dalam kapsul masa di dataran tersebut yang hanya akan dibuka pada tahun 2050. - UTUSAN ONLINE