Menurut status syarikat penerbangan itu yang dimuat naik dalam akan Facebook miliknya, masalah gangguan sistem rangkaian di lapangan terbang tersebut menyebabkan operasi kaunter daftar masuk dan pengendalian bagasi terjejas.

“Kita membantu pelanggan melalui ‘MH Rangers’ terdiri daripada sukarelawan di seluruh Kumpulan Penerbangan Malaysia (MAG). Kumpulan ini berada di sekitar lapangan terbang dan memakai jaket keselamatan berwarna hijau.

“Malaysia Airlines juga telah mengerahkan lebih 300 sukarelawan ini sejak Khamis lalu dan bilangan tersebut terus ditambah pada hari ini bagi memastikan kelewatan minimum operasi,” katanya dalam status akaun Facebook miliknya hari ini.

Akhbar melaporkan semalam bahawa sebanyak 68 jadual penerbangan dilaporkan mengalami kelewatan sehingga pukul 10 malam ekoran gangguan teknikal sistem pelayan di KLIA.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin berkata, gangguan sistem yang berlaku di KLIA adalah berpunca daripada kegagalan rangkaian.

Sebagai langkah untuk menyelesaikan permasalahan itu, kata Raja Azmi, pihaknya telah menggantikan peralatan rangkaian yang kini sedang diuji dan dipantau dengan teliti untuk kestabilannya. - UTUSAN ONLINE