Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ke­semua anggota jemaah Menteri bersetuju dengan pemotongan gaji itu kerana prihatin dengan masalah kewangan negara.

“Semasa saya dilantik menjadi Perdana Menteri tahun 1981 lalu, antara perkara pertama saya lakukan adalah memotong gaji menteri dan pegawai tinggi kerajaan.

“Semua maklum yang pegawai tinggi kerajaan (ketika ini) dibayar gaji lebih baik daripada menteri. Terpulang kepada mereka jika hendak menyumbang untuk mengurangkan kos pentadbiran, mereka boleh melakukannya, tetapi kita tidak memaksa,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kabinet pertama pentadbirannya di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya pemberita mengenai status kenaikan satu gaji tahunan (KGT) untuk penjawat awam Julai ini yang dijanjikan kerajaan dahulu, Dr. Mahathir berkata, kerajaan pimpinannya tidak terikat de­ngan janji tersebut.

“Mereka (kerajaan lama) tidak memenangi pilihan raya, maka kita tidak terikat dengan janji mereka, tetapi kita akan cuba lihat secara positif yang mana kita akan memberi elaun kepada mereka yang patut diberikan,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mahathir berkata, kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol dan diesel meskipun harga minyak mentah dunia setakat ini telah mencecah AS$70 (RM278) setong.

“Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kita telah tentukan akan tamat terpulang kepada kementerian berkenaan tetapi tidak lewat dari 1 Jun. Tentang tol lebuh raya, itu akan diuruskan mengikut manifesto Pakatan Harapan,” katanya.

Berhubung kedudukan Proton Holdings Bhd. (Proton), Dr. Mahathir berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk mengambil alih syarikat tersebut yang merupakan milik ahli perniagaan, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary menerusi Kumpulan DRB-Hicom.

Ketika ditanya pemberita me­ngenai kontrak pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014, beliau memberitahu, kontrak itu akan dikaji semula dan tidak akan diperbaharui jika tidak meme­nuhi keperluan.