Selain bau busuk, kerosakan tersebut turut menyebabkan sisa kumbahan di beberapa kawasan kediaman dan premis perniagaan tidak dapat disalurkan ke loji rawatan di Inanam menyebabkan kira-kira 80,000 penduduk di sekitar bandar itu terjejas.

Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony berkata, berikutan itu, pihaknya segera membatalkan pemberian projek kepada kontraktor berkenaan dan akan melantik syarikat baharu bagi menyelesaikan kerja-kerja yang tertangguh.

“Kita mendapati bahawa kerja-kerja ini telah lewat dengan kadar 28 peratus, jadi pada hari ini kita mengambil keputusan untuk melihat kedudukan di kawasan permasalahan serta mengambil pendekatan untuk membatalkan serta merta kontraktor yang dilantik sebelum ini.

“Nilai projek yang dianugerahkan secara lantikan terus pada bulan Mei lalu ialah RM3.4 juta dan kontraktor berkenaan telah dibayar RM292,000 namun selepas tiga bulan kerosakan berkenaan masih gagal disiapkan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melawat kawasan kerosakan saluran najis tersebut di Jalan Tuaran, Likas yang berpunca daripada mendapan tanah sehingga menyebabkan saluran paip di dalamnya pecah.

Mendapan tanah berkenaan berlaku sejak November 2016 lagi sehingga turut menyebabkan kesesakan lalu lintas yang teruk di sepanjang jalan itu pada waktu puncak.

Menurut Peter, kontraktor tidak bertanggungjawab itu perlu diberi pengajaran kerana kesan limpahan air kumbahan yang berlaku bukan sahaja menyebabkan bau busuk, malah turut boleh membawa penyakit dan mengancam kesihatan penduduk.

“Pelantikan kerja-kerja kecemasan seperti ini mesti diselesaikan dengan segera sama ada bekerja pada waktu malam atau lebih masa yang penting siap. Bayangkan kumbahan yang pecah ini boleh menyebabkan jangkitan penyakit,” katanya. ONLINE