Naib Presiden Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, berdasarkan Akta Pendidikan 1996, Peraturan-Peraturan Pendidikan (PIBG) 1998 sub peraturan 7(2), PIBG tidak boleh memperluaskan bidang kuasanya untuk merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan sekolah, guru, kakitangan dan pekerja sekolah dan syarat-syarat perkhidmatan guru dan kakitangan sekolah.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah lebih baik jika pihak kementerian menyediakan modul khas ke arah memperkukuh dan memperkasakan tulisan jawi di sekolah kebangsaan dengan menambah waktu pembelajaran (Tahap 2) tulisan jawi dalam subjek Pendidikan Islam di samping memasukkan pecahan waktu khas untuk tulisan jawi dalam subjek bahasa Melayu.

"Gagasan juga mencadangkan agar pembelajaran tulisan jawi diteruskan kepada pelajar sekolah menengah kebangsaan dengan penekanan kepada kemahiran penulisan khat dalam subjek bahasa Melayu agar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mampu menggunakan kemahiran penulisan itu sebagai sumber pendapatan sekali gus memastikan generasi akan datang tidak buta tulisan jawi.

"Jadi kita harap Kementerian Pendidikan dapat memperkasakan guru-guru Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (J-QAF) di sekolah kebangsaan bagi membolehkan mereka diberikan tanggungjawab ke arah merealisasikan hasrat tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Syed Anuar turut menyarankan agar penulisan kaligrafi Cina dan India diperkenalkan kepada murid tahap dua sekolah kebangsaan melalui penubuhan Kelab Kaligrafi Cina dan India dengan kerjasama pertubuhan berkaitan atau memanfaatkan guru-guru sedia ada.

Katanya, langkah itu dapat membolehkan murid-murid mengenali dan lebih dekat dengan tulisan tersebut ke arah menguasainya pada masa depan.

Di samping itu, beliau meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP) agar tidak membenarkan penggunaan tulisan jawi pada semua jenama keluaran syarikat bukan Islam agar umat Islam tidak terkeliru dengan pembelian produk tidak halal keluaran syarikat tersebut. - UTUSAN ONLINE