Gadis berusia 22 tahun itu muncul sebagai tetamu 1N2D, program varieti nombor satu di Korea Selatan untuk edisi khas Global Viewers Special selepas video yang dihantarnya berjaya menarik perhatian pasukan produksi daripada ribuan penyertaan peminat dari seluruh dunia.

“Tampil sebagai seorang gadis Malaysia yang memakai hijab, tinggal dan belajar di Australia tetapi mampu bertutur bahasa Korea dengan fasih, seolah-olah bahasa ibunda membuatkan video saya menyerlah sehingga terpilih, itu yang dikatakan oleh team produksi dan anggota 1N2D,” katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi menerusi Instagram.

Meminati budaya Korea sejak usianya 10 tahun, Rizq kemudiannya terdorong untuk belajar sendiri bahasa itu dengan menonton drama dan program hiburan terutama realiti televisyen popular negara itu. Bagi mengasah kemahirannya berkomunikasi dalam bahasa itu, Rizq banyak berkawan dengan pelajar Korea ketika menuntut di sekolah antarabangsa.

“Semakin ramai kawan Korea, semakin lancar pertuturan saya dalam bahasa itu. Disebabkan kawan-kawan yang hebat inilah saya jatuh cinta dengan budaya Korea dan orangnya,” katanya.

Menurut Rizq, dia turut mengenali orang Islam Korea antaranya Umar, Bora dan ramai lagi yang banyak memberi nasihat dan pelbagai petua untuknya sebelum berlepas ke Korea bagi menjalani penggambaran 1N2D.

Ditanya perasaannya apabila terpilih sebagai salah seorang tetamu program televisyen popular itu, Rizq memberitahu dia merasakan seolah-olah bermimpi kerana dia menghantar permohonan tanpa sebarang pengharapan kerana tidak mahu kecewa.

“Saya buat diam-diam tanpa memberitahu keluarga. Saya rekod sendiri video pengenalan. Saya buat lebih kurang enam kali sebelum berpuas hati dan menghantarnya.

“Semasa berada di Malaysia pada cuti semester, saya terima emel dari KBS mengucapkan tahniah kerana terpilih sebagai salah seorang peserta Global Viewers Special. Saya masih ingat bagaimana saya menjerit dan melompat-lompat kesukaan,” ujarnya yang berulang kali mengucapkan terima kasih kepada team produksi 1N2D kerana memilihnya.

Yoon Shi Yoon

RIZQ ceria bergambar bersama Yoon Shi Yoon.
RIZQ ceria bergambar bersama Yoon Shi Yoon. 

Bagi para peminat 1N2D, tentu sahaja sudah menonton bahagian pertama Global Viewers Special yang menyaksikan Rizq diletakkan dalam kumpulan aktor kacak, Yoon Shi Yoon bersama-sama dua lagi peminat dari Morocco dan Rusia.

“Seperti tidak percaya, kesemua anggota (Shi Yoon atau Dong Gu, Cha Tae Hyun, Kim Jong Min, Defconn, Kim Jun Ho, Jung Jun Young) tidak ada beza seperti yang kita saksikan di kaca televisyen. Malah mereka cukup merendah diri, ramah mesra, hormat dan cukup mengambil berat kebajikan anggota kumpulan masing-masing,” katanya.

Rizq turut berkongsi kekagumannya dengan jumlah besar staf dan kamera yang digunakan ketika penggambaran program itu yang sentiasa merakamkan aktiviti mereka.

“Tidak kiralah semasa berjalan, berlari, makan atau menyelesaikan misi atau apa jua aktiviti, ada sahaja staf dan kamera yang mengekori sepanjang masa. Mereka cukup dedikasi dan bekerja keras. Semuanya akan menjadi kenangan dan pengalaman yang tidak mungkin dilupakan,” tambahnya lagi.

Walaupun agak memenatkan, pengalaman indah yang dikutipnya sepanjang menjalani penggambaran 1N2D di Korea menaikkan semangat Rizq untuk menyertai lebih banyak program seumpamanya pada masa depan.

“Jika boleh saya mahu memperkenalkan budaya Muslim kepada orang Korea dan menunjukkan kepada mereka bahawa kita sebenarnya amat peramah dan menyeronokkan untuk bergaul,” katanya. – UTUSAN ONLINE