Jurucakap gabungan itu, Muhammad Faiz Hashim berkata, kejadian seperti penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah tidak akan berlaku jika seluruh rakyat memahami kontrak sosial di negara ini.

"Selama ini pun tidak ada mana-mana kaum yang ditindas di negara ini kerana inilah kontrak sosial yang telah dipersetujui dan merupakan resepi terbaik kita hidup aman dan damai.

"Jadi, kami Gabungan NGO Pahang yang terdiri daripada semua kaum hari ini berkumpul bagi menzahirkan taat setia kepada Sultan Pahang dan semua raja-raja Melayu sebagai mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Gabungan NGO Pahang terdiri daripada 40 NGO di seluruh negeri ini antaranya, Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP); Pertubuhan Kebajikan Melayu Bersatu Pahang; Pertubuhan Kebajikan Satu Kumpulan (One Group Global) Pahang; Pertubuhan Belia Inovasi; Pertubuhan Keris Semenanjung Cawangan Pahang dan dan Kelab Anak Muda Indera Mahkota (KAMI).

Exco Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Chong Choon Hau berkata, rakyat negara ini perlu menghayati Rukun Negara yang mengandungi prinsip kehidupan bermasyarakat, nilai kenegaraan dan norma sosial dalam usaha mengukuhkan semula perpaduan antara kaum.

Katanya, pemahaman mendalam perlu kerana asas-asas dalam Rukun Negara meliputi aspek keagamaan, kebudayaan, ekonomi, politik dan perundangan. - UTUSAN ONLINE