Fly Mojo memilih Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor, sebagai hab utamanya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Sabah, sebagai pangkalan kedua.

Syarikat itu dijangka menggunakan pesawat Bombardier jenis CS100, iaitu syarikat pertama menggunakannya di rantau ini.

Majlis menandatangani surat hasrat (LOI) untuk memiliki 20 buah pesawat CS100 dan opsyen penambahan 20 buah lagi pesawat ber­kenaan dilakukan di Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA 15) di sini hari ini, dengan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Yang turut hadir ialah Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Perdagangan Antarabangsa Kanada, Ed Fast.

Dalam majlis itu, Fly Mojo diwakili Pengarah Urusannya, Datuk G. K. Janardhanan manakala Bombardier oleh Naib Presiden Wilayah, Jualan bagi China dan Asia Pasifik, Frank Baistrocchi.

Surat yang ditandatangani itu melibatkan kos sebanyak RM5.4 bilion (AS$1.4 bilion) sehingga RM10.8 bilion (AS$2.94 bilion).

Dalam pada itu, Ed Fast dalam kenyataannya memberitahu, usahasama tersebut mampu mening­katkan hubungan dua hala dan pertumbuhan ekonomi antara ke­dua-dua buah negara.

Difahamkan, Fly Mojo masih menilai segmen perkhidmatan yang ditawarkan namun memberi fokus terhadap penerbangan tambang murah.

Sementara itu, Bombardier yang berpangkalan di Montreal, Kanada merupakan pengeluar terbesar bagi kedua-dua pengangkutan kapal terbang dan kereta api di dunia.