Tony Pua
Tony Pua

Peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun, yang mewakili Najib dalam kapasiti peribadinya, berkata surat tuntutan tersebut telah diserahkan kepada Tony Pua pada 4.45 petang semalam.

Kenyataan fitnah yang dinyata dan diterbitkan oleh Tony Pua pada 6 April, 2017, bertajuk "BN Govt Abandons all Bills to give precedence to PAS' RUU355 Private Member's Bill".

(Kerajaan BN mengabaikan semua Rang Undang-Undang bagi memberi keutamaan kepada Rang Undang-Undang Ahli Persendirian RUU355 oleh PAS).

Beliau berkata, kenyataan fitnah itu dalam pengertian biasa yang mudah difahami bermaksud, antara lain anak guamnya telah mencuri dan terlibat dalam amalan rasuah.

"Arahan anak guam kami bahawa kenyataan fitnah itu dan apa-apa kenyataan yang serupa merupakan fitnah yang sangat serius oleh anda, dan menyebabkan kesulitan yang besar dan memalukan.

"Bertentangan dengan kenyataan fitnah anda, anak guam kami bukannya kleptokrat yang zalim dan menindas serta mengelak kritikan, atau pemimpin yang terlibat dalam amalan rasuah atau mencuri wang rakyat.

"Dakwaan palsu dan tidak berasas sama sekali oleh anda itu bertujuan meremehkan kedudukan tinggi politik anak guam kami, reputasi baik beliau di dalam negara dan antarabangsa. Dengan berbuat demikian, anda bertindak dengan berniat jahat," katanya.

Peguam itu berkata, anak guamnya juga menuntut Tony Pua dalam tempoh tujuh hari bermula semalam, membuat permohonan maaf sepenuhnya secara bertulis untuk disiarkan dalam dua akhbar, mengeluarkan video tersebut dengan serta merta dan berhenti daripada terus mengeluarkan kenyataan fitnah atau sebarang kenyataan seumpama itu.

Beliau berkata, sekiranya pihaknya tidak menerima respons yang memuaskan, beliau dengan tegasnya akan memulakan prosiding undang-undang terhadap Tony Pua. - BERNAMA