Menurut Ahli Parlimen Alor Gajah itu, program tiga hari tiga malam bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam dengan sasaran khalayak 100,000 orang tersebut akan melibatkan pelbagai aktiviti yang disertai semua agensi di bawah kementerian.

Kata beliau, Fiesta MED anjuran Media House Entertainment (MHE), anak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad dengan kerjasama kementerian bertemakan Usahawan Wira Ekonomi itu akan menjemput seluruh rakyat negeri Melaka untuk bersama memeriahkan fiesta tersebut yang dijangka dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakub dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kita juga akan mengadakan program Kenduri Rakyat atas terima kasih Pak Wan kepada rakyat negeri Melaka. Kementerian menjemput seluruh penduduk Melaka menghadiri program ini,” kata beliau kepada Utusan Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MHE, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar yakin penganjuran Fiesta MED ini mampu menjalin hubungan erat antara masyarakat pelbagai kaum dengan agensi-agensi di bawah kementerian yang menyediakan pelbagai ruang untuk mereka meningkatkan peluang keusahawanan yang dapat meningkatkan taraf kehidupan selain merapatkan ukhwah dalam kalangan warga Melaka.

“Kemajmukan penduduk di Melaka yang terdiri daripada pelbagai kaum dan menjadi tumpuan utama pelancong luar, memberi peluang kepada penduduk Melaka terlibat dalam pelbagai bidang keusahawanan.

“Selain itu mereka juga boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan menerusi pameran yang melibatkan semua agensi MED,” jelas beliau.

Ujar Zaienal Abidin lagi, semua agensi di bawah MED antaranya Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKN), Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, Professional Training and Education For Growing Enterpreneurs (Protege), Pusat Inovasi, Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Institut Latihan Keusawanan Negara (INSKEN) dan UDA Holdings akan mengambil bahagian dalam fiesta tersebut. - UTUSAN ONLINE