Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pemansuhan tersebut akan berkuat kuasa 1 Julai depan bagi membolehkan semua urusan pindaan kaedah dan persiapan sistem pendaftaran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) disempurnakan.

“Kementerian telah meneliti semula pelaksanaan AVRF semasa dan mendapati terdapat beberapa isu berbangkit melibatkan peningkatan kos menjalankan perniagaan serta suasana persaingan yang tidak seimbang.

“Perkara itu berikutan kos kenderaan binaan tempatan adalah lebih tinggi berbanding yang import selain pembuat tempatan terpaksa bersaing dengan pembekal kenderaan import baharu yang mempunyai elemen kos lebih rendah dan kompetitif,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

AVRF merupakan yuran pendaftaran yang dikenakan ke atas kenderaan bermotor dengan kaedah perkiraannya berdasarkan nilai sesuatu barangan yang digunakan untuk pembuatan kenderaan.

Mengulas lanjut beliau berkata, peraturan semasa adalah kenderaan yang dikecualikan duti import termasuk kenderaan binaan tempatan akan dikenakan AVRF semasa pendaftaran serta cukai jualan oleh Jabatan Kastam.

Bagi kenderaan import pula katanya, AVRF dikecualikan kerana telah dikenakan duti import serta cukai jualan.

"Namun begitu, Malaysia telah menandatangi bilateral free trade agreements (FTA) dengan beberapa negara termasuk Jepun, Pakistan, India, ASEAN, China dan Korea Selatan.

"Menerusi FTA tersebut, treler dan semi treler yang diimport dari negara yang terlibat telah dikecualikan daripada bayaran duti import.

"Oleh yang demikian, semua kenderaan import yang terlibat dalam pengecualian duti import dan cukai jualan secara amnya telah dikecualikan daripada sebarang bayaran yuran termasuk pengecualian AVRF," katanya.

Ditanya mengenai kualiti dalam binaan badan kenderaan, beliau yakin industri tempatan dengan pengalaman antara 40 hingga 50 tahun mampu bersaing dengan pengedar kenderaan yang diimport dari luar negara. - UTUSAN ONLINE