Felda dalam kenyataan berkata, peruntukan khas RM77 juta yang diluluskan Kerajaan Pusat pada 20 Disember tahun lalu itu juga termasuk bayaran tunggakan bagi kerja-kerja operasi pembangunan ladang peneroka dan bayaran khairat kematian kepada 120 waris peneroka.

“Oleh itu, semua tuntutan BSHPH telah selesai diagihkan kepada peneroka dan bayaran ini hanya dibuat kepada pene­roka yang terlibat di bawah Program Tanam Semula.

“Walau bagaimanapun, 851 peneroka di Sungai Koyan tidak terlibat dengan Program Tanam Semula dan tiada tuntutan BSHPH dibuat oleh mereka,” kata­nya di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan isu kelewatan pengagihan bayaran tunggakan kepada peneroka Felda akan dijawab oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali terus kepada peneroka ketika lawatannya ke Sungai Koyan minggu ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kelewatan itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan peruntukan RM77 juta telah diluluskan kerajaan Pusat pada 20 Disember lepas.

Menurut kenyataan Felda itu, pihaknya telah meneliti aduan dibangkitkan oleh Menteri Kewangan tersebut dan mendapati bahawa aduan peneroka berhubung dengan bayaran hasil iaitu gaji yang dibayar kepada peneroka berdasarkan jualan kelapa sawit.

“Bayaran tersebut dibuat kepada pene­roka dua kali sebulan, iaitu pada pertengahan dan hujung bulan dan kemudian dipinda kepada bayaran sekali pada hujung bulan.

“Bayaran hasil ini bukan sebahagian daripada BSHPH ataupun peruntukan khas RM77 juta yang diluluskan oleh Kerajaan Pusat. Bayaran hasil kepada peneroka akan dibayar dengan menggunakan sumber kewa­ngan FELDA,” jelasnya.

Sehubungan itu, Felda sentiasa komited dalam membantu menjaga kebajikan peneroka dan memastikan industri perladangan sawit maju serta memberi pertimbangan yang positif terhadap perkara yang dibangkitkan oleh peneroka sendiri.