Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kawasan tersebut yang terletak di Kampung Bemban, Lakai di sini akan ditanam dengan 20,000 pokok durian tersebut.

Beliau berkata, projek perintis tanaman durian oleh Felcra itu bakal menjadikan Jelebu pengeluar besar bagi durian Musang King.

"Projek tersebut akan menjadi sumber pendapatan baharu dan meningkatkan ekonomi penduduk di daerah ini," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Rumah Bina Negara (RBN) Felcra Lakai, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias; Pengurus Besar Kumpulan Hal Ehwal Peserta Felcra, Mohd. Fauzi Mohd. Tahir dan Pengurus Besar Wilayah Felcra Tengah, Ahmad Salleh.

Pembinaan 162 unit kediaman RBN berharga RM75,000 sebuah itu. merupakan projek yang pertama di Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan lain, Bung Moktar berkata, Felcra akan membuka pusat jualan hasil produk tempatan, Desa Mall yang menawarkan barangan pada harga berpatutan di Bangi, Selangor pada Mei depan.

Katanya, ia akan menjual barangan keluaran penduduk luar bandar dan berpotensi menjadi tarikan pelancongan. - UTUSAN ONLINE