Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan, Industri Asas Tani dan Koperasi negeri, Norhizam Hassan Baktee berkata, selain bayaran sara hidup penuh yang tidak dinikmati golongan itu sejak Mei tahun lalu, agensi terbabit juga perlu segera menyelesaikan beberapa permasalahan lain yang timbul dalam kalangan peneroka sehingga membangkitkan kemarahan mereka.

Katanya, sebahagian besar peneroka itu yang mengusahakan tanaman sawit didakwa telah dipaksa untuk menandatangani surat perjanjian tanaman semula oleh pihak pengurusan Felcra pada tahun lalu di atas kertas `kosong’.

“Surat itu hanya mengandungi kepala surat Felcra dan hanya menyebut perojek tanaman semula di mana saya difahamkan peneroka ini dijanjikan bayaran sara hidup tetapi mereka tidak dapat seperti yang dijanjikan.

“Selain itu juga, terdapat segelintir kumpulan peneroka ini yang mahu keluar daripada Felcra tetapi perkara itu hanya boleh diputuskan oleh kerajaan negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang akan saya usulkan nanti,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri program sesi dialog bersama hampir 100 peneroka Felcra dari dua tanah rancangan itu di Dewan Orang Ramai Lembah Kesang, Seri Mendapat di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pegawai Perancang Felda Wilayah Selatan, Abdul Razak Sufian; Pegawai Pembangunan Felcra Wilayah Tengah, Abdul Halim Abdullah dan Pegawai Felcra Seri Mendapat, Mohd. Rafi Mohd.

Dianggarkan terdapat sejumlah 106 peneroka di Felcra Paya Jenuang dan 103 peneroka di Felcra Lembah Kesang 2 yang mengusahakan tanaman sawit.

Tiga permasalahan ditimbulkan oleh peneroka sepanjang sesi dialog iaitu tuntutan bayaran sara hidup, salinan surat perjanjian yang ditandatangani mereka untuk projek tanaman semula dan tuntutan untuk keluar daripada Felcra.

Menurut Norhizam, kerajaan negeri kecewa kerana sepatutnya kumpulan peneroka ini dibantu untuk menangani kos sara hidup malangnya bayaran yang sepatutnya diterima mereka tidak dilaksanakan.

“Kerajaan negeri akan berusaha membantu sehabis baik dan akan membawa perkara itu kepada pengetahuan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang bertanggungjawab menguruskan hal Felcra tetapi saya tidak dapat beri jaminan bila masalah ini dapat diselesaikan,” katanya. - UTUSAN ONLINE