Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Ramlee Abu Bakar berkata, pihaknya telah mengenal pasti lima kawasan dijadikan penempatan baharu buat generasi kedua Felcra yang terdiri daripada anak-anak peserta dan pembinaannya dijangka dapat diselesaikan tahun ini.

Beliau berkata, setakat ini, kerja-kerja pembinaan rumah terbabit sedang dilakukan di dua kawasan iaitu di Seberang Perak, Perak dan Sri Makmur, Pahang.

Katanya, tiga lagi kawasan yang dikenal pasti iaitu masing-masing di Lekir, Perak, Bukit Kepong, Johor serta di Keruak, Terengganu masih belum dimulakan kerana proses pemilikan tanah yang belum diselesaikan.

“Untuk tahun ini kita akan bangunkan penempatan baharu kepada anak-anak peserta Felcra ini. Perkembangan ini sekali gus akan dapat membantu generasi kedua Felcra ini mempunyai rumah sendiri.

“Pembangunan penempatan baharu kepada generasi kedua ini juga merupakan agenda kita. Kita mahu nasib mereka terbela,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Banjir kepada Peserta-Peserta Felcra Berhad Negeri Kelantan di Felcra Bukit Tandak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Wilayah Felcra Berhad Timur, Abdul Mutalib Tais.

Pada majlis tersebut, seramai 800 peserta Felcra dari seluruh negeri ini yang terjejas akibat banjir Disember tahun lalu menerima bantuan berupa barangan keperluan dan wang tunai.

Tambah Ramlee, setiap unit rumah yang akan dibina di bawah projek ini dianggarkan bernilai diantara RM60,000 sehingga RM100,000.

“Nilainya juga akan bergantung kepada keluasan kawasan tanah dan pembiayaan pembinaan rumah ini juga adalah secara pinjaman, mereka perlu membayar balik pinjaman yang dibuat,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Ramlee berkata, pihaknya menyasarkan lima koperasi milik Felcra akan mendapat penarafan lima bintang pada tahun ini.

“Setakat ini dua koperasi milik Felcra telah mendapat penarafan lima bintang dan kita sasarkan empat atau lima koperasi akan memperoleh penarafan lima bintang.

“Banyak lagi koperasi yang boleh diketengahkan dan kita mempunyai 143 koperasi di seluruh negara,” katanya.