Dalam kalangan wartawan hiburan, berita pernikahan pasangan pelakon berkenaan sedang hangat dibincangkan.

Menurut sumber, kedua-dua artis popular ini melangsungkan pernikahan mereka semalam di kediaman nenek pelakon wanita yang popular menerusi drama Hero Seorang Cinderella itu.

Dikhabarkan majlis tertutup hanya dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan terdekat.

Malah kesemua tetamu yang hadir dikatakan tidak dibenarkan membawa telefon bimbit semasa menghadiri majlis tersebut kerana bimbang foto pernikahan itu disebarkan.

Khabar angin mengenai perkahwinan mereka mula bertebaran sejak dua minggu lalu apabila Fattah dan Fazura dikatakan bakal melangsungkan pertunangan pada 13 November lepas.

Setakat hari ini, tiada kenyataan rasmi daripada kedua-dua pelakon itu berhubung spekulasi mengenai hubungan mereka.

Menurut sumber itu lagi, pasangan tersebut juga sudah berlepas ke Mekah untuk menunaikan umrah bersama keluarga masing-masing.

Sementara itu pasangan tersebut dalam kenyataan bersama hari ini mengaku pergi menunaikan umrah bersama-sama keluarga masing-masing.

Kata Fattah dan Fazura lagi, satu sidang akhbar akan diadakan pada 23 November ini bagi menjelaskan spekulasi tentang hubungan mereka. - UTUSAN ONLINE