Berkata kepada Utusan Online, Shadila menyimpan hasrat untuk menyaksikan Alif digandingkan dengan Fasha Sandha, Nabila Huda atau Lisa Surihani yang disifatkan ada keistimewaan tersendiri dalam gaya lakonan mereka.

“Sejujurnya, saya adalah peminat ketiga-tiga aktres tersebut sejak mereka berkecimpung dalam industri hiburan tanah air hinggalah sekarang.

“Boleh kata setiap karya lakonan mereka, saya akan tonton dan membayangkan pada suatu hari nanti, Alif dapat berdampingan dengan mereka.

“Sebagai isteri, saya bersikap profesional dan tidak pernah menghalangnya berlakon dengan mana-mana wanita,” katanya.

Tambah Shadila, dia juga selalu menasihatkan pelantun lagu Sesungguhnya Aku itu agar sentiasa membuat ulang kaji dengan menonton karya-karya berkualiti dari dalam mahupun luar negara.

“Kami sering habiskan masa menonton filem berdua. Selepas habis tonton, kami adakan perbincangan tentang jalan cerita dan mutu lakonan.

“Dari situ, dia belajar dan banyak mendapat input yang boleh dipraktikkan dalam lakonannya,” jelas Shadila.

Sebelum ini, Alif pernah bergandingan dengan beberapa nama seperti Siti Nordiana, Nabila Razali dan Neelofa menerusi drama rantaian popular tempatan. - UTUSAN ONLINE