Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, muafakat politik yang mula terjalin pada pilihan raya kecil  (PRK) Cameron Highlands diikuti PRK Semenyih akan  diperkasakan lagi bagi menjaga kepentingan Melayu dan Islam.

"Walaupun kerjasama ini menerima tuduhan dan pandangan negatif daripada sesetengah pihak, namun tidak akan menjejaskan pemuafakatan yang telah dipersetujui bersama antara Pas dan UMNO sebelum ini.

'Pemuafakatan politik antara Pas dan UMNO  telah pun berlaku selepas Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969, apabila kepentingan orang-orang Melayu dan agama Islam mula cuba diganggu-gugat pihak lain," katanya ketika berucap dalam majlis Perpaduan Ummah Bersama UMNO di Pekan Ayer Baloi di sini malam tadi.

Yang turut hadir Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad, Pesuruhjaya Pas Johor, Ustaz Abdullah Husin, Ahli Parlimen Pontian,  Datuk Seri Ahmad Maslan dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Johor, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Beliau berkata, muafakat politik kali ini antara Pas dan UMNO mula ditakuti Pakatan Harapan (PH) hingga timbul pelbagai tuduhan dan gerakan bagi melemahkan perpaduan yang mula terjalin itu.

Tuan Ibrahim berkata, ketakutan itu juga disebabkan kemampuan Pas dan UMNO untuk merampas 120 kerusi Parlimen daripada PH apabila kedua-dua gabungan berkenaan bersama-sama dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Oleh itu, gabungan ini diharap berkekalan dan tidak setakat  untuk menghadapi PRK dan pilihan raya umum tetapi juga merentasi kerjasama apabila melibatkan orang-orang Melayu dan agama Islam,” ujarnya.

Katanya, kerangka kerjasama akan diuruskan dengan cermat dan berhati-hati oleh jawatankuasa teknikal terdiri dari 11 ahli jawatankuasa serta tambahan lima orang dalam kalangan naib-naib presiden parti masing-masing.

Jelas beliau, walaupun diakui terdapat perbezaan tetapi bukan satu halangan bagi Pas dan UMNO mencari satu titik persamaan bagi menghadapi cabaran yang sedang dilalui umat Melayu dan Islam. - UTUSAN ONLINE