Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pihaknya menerima aduan pengguna berhubung laluan tersebut namun perlu diingatkan lebuh raya berkenaan belum siap sepenuhnya.

Katanya, Projek Pembinaan Fasa 2 Lebuhraya Pasir Gudang kini berada pada tahap 86 peratus.

“Laluan itu masih dalam pembinaan dan belum siap sepenuhnya, ia akan diturap dengan sempurna sebelum siap secara rasminya.

“Ketika ini laluan itu dibuka bagi mengurangkan kesesakan trafik yang melalui kawasan tersebut setiap hari,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) di Hotel Phoenix, Forest City di sini sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE