Pengarah Operasinya, Azmi Zai­nal berkata, fakta itu merupakan sesuatu yang amat dibanggakan syarikat dengan ada di antara pengedar dilantik mampu memperolehi pendapatan sehingga puluhan ribu sebulan bergantung kepada tahap kerajinan masing-masing.

“Usaha kami untuk membentuk usahawan pemasaran dilakukan dengan konsep yang unik kerana belum ada lagi mana-mana syarikat selain kami menjual susu menggunakan stokis dan dealer atau peniaga.

“Melalui konsep ini para peniaga akan buat kempen contohnya dari rumah ke rumah untuk menjual susu. Daripada situ mereka boleh memperolehi pendapatan sehingga ribuan ringgit bersandarkan kepada usaha masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui dalam program Hasanah Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan (SK) Putat di sini baru-baru ini.

Menurut Azmi Zainal, ada dalam kalangan peniaga dilantik berupaya untuk memperolehi pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit.

“Untuk berniaga susu bersama kami, anda tidak perlukan wang mencecah ribuan atau ratusan ribu untuk dicagarkan. Tak perlu juga ada syarat-syarat yang sukar seperti perlukan lori dan sebagainya kerana kami sentiasa mencari jalan untuk memudahkan semua pihak.

“Mereka yang berminat cuma perlu datang dan berbincang de­ngan stokis. Kami percaya kaedah ini bukan saja menguntungkan usahawan tersebut malah turut membantu mempromosikan susu sebagai minuman sihat kepada lebih ramai individu terutamanya ahli keluarga serta kenalan mereka,” katanya.

Sementara itu, stokis susu ber­kenaan bagi kawasan negeri Kedah dan Perlis, Ng Jen Kee berkata, peluang diberikan syarikat terbabit kepada golongan suri rumah untuk memulakan perniagaan dengan kadar modal yang rendah, sememangnya banyak membantu menambah pendapatan keluarga.

“Kalau di negeri ini, susu Farm Fresh sudah mula menjelajah ke kampung-kampung hasil usaha peniaga dilantik. Pendapatan mereka pun banyak yang mening­kat dan kebanyakan suri rumah yang menjalankan perniagaan dengan kami mengakui, mereka berjaya mengurangkan beban ditanggung suami selaku pencari nafkah tunggal dalam keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, peniaga yang dilantik bagi Daerah Kubang Pasu, Nor Diana Yussof berkata, beliau bersyukur kerana diberi peluang untuk turut serta dalam perniagaan tersebut sejak hampir dua tahun lalu.

“Sebelum ini saya bertugas sebagai penjawat awam dan kerjaya itu menuntut saya mengorbankan masa bersama keluarga ke­rana ada kalanya perlu bertugas hingga lewat malam dan bekerja pada hujung minggu.

“Setelah beberapa lama menjalankan perniagaan susu Farm Fresh ini, akhirnya saya membuat keputusan untuk berhenti kerana pendapatan diperolehi kian stabil. Saya juga dapat memberi tumpuan penuh kepada anak-anak kerana kami sentiasa dapat bersama termasuk ketika keluar menghantar susu kepada pelanggan,” katanya.