Menurut pegawai bertugas di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC) yang hanya dikenali sebagai Gan, penggiat seni tanah air itu akan berhubung terus dengan Haslina.

“Sebenarnya reka bentuk poster itu berbayar dan memang ada poster dalam bahasa Melayu.

“Walau bagaimanapun, kita telah dimaklumkan kepada Faridah. Beliau selaku penerbit akan menghubungi terus dengan waris Allahyarham Usman dan Radzuan (Presiden Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi), Datuk Dr. Radzuan Ibrahim @ Wanrazuhar),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, anak Sasterawan Negara, Haslina Usman menghargai usaha Faridah kerana bertindak pantas membetulkan semula poster drama pendek itu.

“Terima kasih Datuk Faridah Merican dan semua yang terlibat memperbetulkan isu poster pementasan penghormatan untuk arwah Seniman Negara, Usman Awang.

“Kami warisnya amat menghargai usaha semua yang terlibat,” katanya dalam status akaun Facebook miliknya.

Terdahulu, beliau menzahirkan rasa kecewa dengan tindakan penganjur drama pendek itu kerana mengabaikan penggunaan bahasa Melayu dalam menghasilkan rekaan poster karya tersebut.

Haslina Usman berkata, beliau faham pementasan drama di Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur (KLPAC) dalam pelbagai bahasa tetapi persoalannya mengapa penganjur tidak boleh menggunakan bahasa Melayu dalam poster tersebut.

Tambah beliau, penganjur sepatutnya menghormati pendirian dan perjuangan Allahyarham Usman dalam memartabatkan bahasa Melayu selain statusnya sebagai Sasterawan Negara.

“Kami waris ayah, Sasterawan Negara Usman Awang tidak puas hati dan kecewa atas rekaan poster pementasan ‘Don’t Let Usman Awang Know’. Kami tahu ia adalah pementasan berbagai bahasa, oleh itu mengapa bahasa Melayu tidak ada dalam poster tersebut? - UTUSAN ONLINE