Pengerusi Konsortium Koperasi Wanita, Tan Sri Dr. Siti Zaharah Sulaiman berkata, antara punca permasalahan global itu adalah disebabkan oleh inisiatif ‘Silk Road Economic Belt’ yang dilaksanakan oleh negara China.

Inisiatif berkenaan, katanya, bertujuan menggalakkan kerjasama ekonomi, beratus-ratus ribu syarikat China dengan keupayaan kewangan akan ke luar negara untuk mencari peluang pelaburan dan rakan kongsi perniagaan.

“Ini menyebabkan pasaran di China semakin meningkat.

“China membeli produk tempatan termasuk di negara ini dan apabila ini berlaku, harga sesuatu produk itu akan melambung tinggi,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Siti Zaharah berkata, tidak dinafikan perkara itu memberi keuntungan kepada pengusaha dan peniaga produk-produk tempatan tetapi kesannya akan dirasai oleh orang ramai.

“Harga durian kampung sebagai contoh, kini mencecah RM20 sekilogram. Itu belum harga durian Musang King,” ujarnya.

Beliau berkata, tidak adil jika rakyat menyalahkan kerajaan semata-mata ekoran berlakunya kenaikan harga barang.

“Kita dapat lihat pelbagai usaha dilakukan kerajaan untuk membantu rakyat. Kerajaan memperkenalkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan Program Jualan Sentuhan Rakyat.

“Kerajaan juga memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), semua ini dilakukan untuk membantu mengurangkan beban ditanggung rakyat akibat kenaikan harga barang,” katanya.

Beliau dalam pada itu percaya kerajaan tidak akan berdiam diri sebaliknya akan terus melakukan sesuatu bagi memastikan rakyat tidak terbeban akibat kenaikan harga barang.

“Namun pasti ada pihak yang akan terus melemparkan dakwaan bahawa kerajaan menjadi punca kenaikan harga barang,” katanya. - UTUSAN ONLINE