Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pengenalan terhadap tren baharu itu dijangka mampu meningkatkan tahap kapasiti perkhidmatan ERL kepada 50 peratus apabila mula beroperasi secara rasmi esok.

"Penambahan kepada enam tren baharu ini dijangka dapat mengurangkan tempoh menunggu dari 20 minit kepada 15 minit ketika waktu puncak.

"Kesemua tren baharu ini yang dilitupi dengan hiasan motif songket tradisional seperti pucuk rebung, tapak sulaiman dan bunga pecah lapan telah ditingkatkan daripada aspek keselamatan, kebolehpercayaan dan keselesaan untuk semua penumpang," katanya selepas merasmikan tren baharu KLIA Ekspres di KLIA di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Eksekutif ERL, Tan Sri Mohd. Nadzmi Mohd. Salleh; Presiden CRRC Changchun Railway Vehicles Company Limited (CRRC Changchun), An Zhongyi dan Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd. Noor.

Tiong Lai berkata, empat tren tersebut akan digunakan untuk perkhidmatan KLIA Transit manakala bakinya digunakan untuk perkhidmatan KLIA Ekspres.

Beliau berkata, tren baharu untuk KLIA Ekspres boleh memuatkan 192 penumpang manakala tren transit pula boleh memuatkan sehingga 350 penumpang dalam satu-satu masa.

Dalam pada itu, Tiong Lai turut mengumumkan sempena pelancaran tren baharu itu, pihak ERL akan menyediakan perjalanan secara percuma untuk keluarga yang datang bersama anak-anak mereka berumur bawah 12 tahun pada Sabtu dan Ahad ini.

"Tiket tersebut boleh diambil bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang di semua kaunter tiket stesen ERL dan tiket itu perlu digunakan serta-merta pada hari yang sama," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu kerajaan dalam perancangan untuk melaksanakan projek kereta api berkelajuan tinggi bagi menghubungkan Kuala Lumpur dan Bangkok, Thailand.

Beliau berkata, projek tersebut dijangka dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara selepas kejayaan memuktamadkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) baru-baru ini.

habis