Menteri Besar , Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, loji janakuasa tenaga solar berskala besar pertama di negeri ini (berkapasiti 18.5 Megawatt) yang dibina di tapak seluas lebih 28 hektar di sini dengan kerjasama firma tempatan  telah menyalur tenaga ke dalam sistem Rangkaian Grid Nasional mulai Mac lalu.

“Saya merasa amat bangga kerana EPIC  yang turut berusaha meneroka bidang baharu dengan menjadi perintis dalam memacu projek pengeluaran tenaga solar bagi kawasan pantai timur,"katanya ketika berucap melancarkan loji janakuasa yang menelan belanja RM86 juta itu di Teluk Kalong hari ini.

Yang turut hadir,  Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat; Ahli Dewan UndanGan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili;  ADUN Air Putih, Abdul Razak Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Noor Fadzil Mohd Nor.

Tenaga elektrik yang dihasilkan melalui sistem tenaga solar itu dapat menampung bekalan elektrik sebahagian kilang di kawasan perindustrian di kawasan Teluk Kalong yang pesat berkembang itu.

"Teknologi itu juga mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi apabila inovasi dalam bidang itu dapat diguna pakai bukan sahaja dalam industri, malah membawa manfaat kepada pengguna yang lain.

“Tenaga yang dijana daripada Panel Solar Photovoltaic (PV) merupakan sumber tenaga yang bersih kerana hanya menggunakan sinaran matahari, dan Malaysia merupakan sebuah megara yang menerima banyak sinaran  sepanjang tahun,"ujarnya.

Dr. Ahmad Samsuri berkata, pembangunan sistem solar berskala utiliti ini juga dijangka akan memberi manfaat kepada sistem bekalan elektrik di mana ia seara tidak langsung akan mengurangkan kos pengendalian sistem penjanaan yang kompleks selain menambah pendapatan hasil negeri secara berterusan dalam jangka masa panjang.

“Sebelum ini juga kerajaan negeri turut membuat pelaburan bagi mencuba mencari tenaga baharu seperti menggunakan teknologi daripada angin tetapi kurang berjaya,” katanya.

"Dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) kerajaan negeri akan memfokuskan kepada pembangunan projek-projek tenaga solar berkapasiti sehingga 50 megawat untuk mencapai sasaran penjanaan tenaga solar sebanyak 1000 megawat menjelang tahun 2020," katanya. - UTUSAN ONLINE