Sumbangan tersebut merupakan komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dengan menyalurkan bantuan pengurusan dan peralatan, bergantung kepada keperluan pusat berkenaan dengan memberi perhatian kepada pusat-pusat tahfiz yang diuruskan secara pesendirian pada tahun ini.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu merangkap Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan EPIC, Ahmad Amzad Hashim berkata, walaupun sumbangan yang diberikan tidak besar tetapi ia diharap dapat membantu memenuhi keperluan pusat dan pelajar berkenaan.

“ Sebagai contoh pada hari ini EPIC menyumbangkan sebuah mesin basuh dan dua unit alat pemadam api kepada Pusat Tahfiz Al-Mussinim di sini,’’ katanya ketika menyampaikan sumbangan tersebut kepada Sukri Muda, tenaga pengajar di pusat berkenaan.

Yang hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Perancangan dan Komunikasi Korporat EPIC, Abdul Adzim Abdul Hamid.

Beliau berkata, sebelum itu EPIC turut menyampaikan sumbangan sebanyak 100 unit kerusi kepada Madrasah Tahfiz As-Sabiqun Bukit Kubang Jambu.

Kataya, sumbangan kepada pusat-pusat tahfiz yang bermula pada tahun ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan bentuk sumbangan yang diberikan itu juga bergantung kepada keperluan pusat berkenaan.

Menurut beliau, program sumbangan ini juga merupakan susulan lawatan serta sumbangan yang diberikan kepada lima pusat tahfiz sebelum ini pada Mei lalu.

Katanya, inisiatif tersebut juga adalah untuk mendekatkan syarikat kepada pusat-pusat tahfiz yang memerlukan bantuan dan diharapkan ianya akan menjadi contoh kepada syaraikat-syarikat kerajaan yang lain.

“Ini kerana kita tahu pusat berkenaan banyak memberi sumbangan kepada masyarakat terutama kepada anak-anak setempat yang ingin mendalami al-Quran.

“Sedikit sebanyak keuntungan yang diperolehi syarikat turut dikongsi oleh mereka yang memerlukan sejajar dengan moto kerajaan negeri Maju, Berkat dan Sejahtera,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, Sukri berkata, pada masa ini Pusat Tahfiz Al-Mussinim mempunyai 17 pelajar yang berusia 9 hingga 16 tahun yang kebanyakannya merupakan anak penduduk setempat. - UTUSAN ONLINE