Enam syarikat dapat RM186 juta setahun untuk kerja RM5,000
Peter Anthony

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony berkata, kesemua syarikat berkenaan berjaya mengikat kontrak itu daripada kerajaan terdahulu untuk tempoh 20 tahun dengan nilai keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion.

Beliau berkata, hasil penelitian mendapati, meskipun dibayar RM186 juta setahun, syarikat terlibat hanya akan mengeluarkan wang jika ada kerosakan yang bernilai RM5,000 ke bawah di mana-mana loji dan bagi kerja-kerja yang menelan perbelanjaan lebih tinggi akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.

“Bagaimana kerajaan boleh melantik kontraktor ini yang hanya menanggung kos RM5,000 sedangkan peralatan di loji seperti pam air kalau rosak boleh menelan kos antara RM200,000 sehingga RM1.2 juta.

“Enam kontraktor ini mengaut keuntungan tetapi jika ada kerosakan kerajaan juga yang tanggung, perjanjian kontrak ini amatlah merugikan kerajaan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya hari ini.

Menurut Peter, berikutan itu, beberapa laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat sebelum ini bagi meminta pihak berkuasa menyiasat syarikat-syarikat berkenaan.

Pada masa sama katanya, kementeriannya sedang merangka tindakan-tindakan yang perlu diambil untuk mengatasi ketirisan tersebut termasuk menamatkan kontrak syarikat-syarikat terbabit serta-merta jika perlu.

Sementara itu jelasnya, di peringkat Jabatan Air Sabah, penstrukturan semula akan dilakukan untuk memastikan tidak lagi berlaku pembaziran dan ketirisan terhadap wang rakyat.

“Saya yakin dengan penstrukturan semula jabatan dalam tempoh enam bulan ini termasuk penyelenggaraan di kesemua loji ini, kerajaan akan dapat menjimatkan sebanyak RM900 juta hingga RM1 bilion wang rakyat.

“Maka jika ada pihak yang mempersoal kenapa kerajaan melantik pengarah daripada orang luar ke dalam jabatan itu, jawapannya ialah kerana sebelum ini banyak pembaziran berlaku terhadap wang rakyat,” tegas beliau. - UTUSAN ONLINE