Ketua Polis daerah, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, empat suspek termasuk seorang warga Myanmar berusia antara 28 hingga 50 tahun itu diberkas di Pantai Chenang dan Kampung Tanjung Mali, di sini kira-kira pukul 10 malam.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan, kejadian berlaku apabila keempat-empat suspek didakwa pergi ke bilik sewa didiami mangsa bersama dua orang rakannya di Kampung Didik, Kuah di sini kira-kira pukul 1 petang, pada hari yang sama.

"Dua suspek bertindak masuk ke dalam bilik sewa itu sambil memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta wang daripada mangsa.

"Lelaki Rohingya terbabit dipukul kerana tidak mempunyai wang sebelum suspek mengarahkan mangsa mencari wang dan menyerahkannya di sebuah restoran selepas solat Jumaat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Iqbal, suspek turut memeras ugut supaya mangsa menyerahkan wang sekiranya dia mahu menjalankan perniagaan di kawasan tersebut.

"Susulan kejadian itu, mangsa bertindak membuat laporan di Balai Polis Kuah," ujarnya.

Kata beliau, siasatan di tempat kejadian mendapati kawasan berkenaan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan mangsa juga tidak mengenali kesemua suspek.

"Hasil soal siasat awal yang dijalankan, semua suspek mengaku terlibat dalam kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 385 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan," katanya.

Tambahnya, tiga daripada empat suspek terbabit memiliki rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kesalahan termasuk dadah, manakala ujian air kencing mendapati kesemua mereka negatif bahan terlarang. -UTUSAN ONLINE