Pengarah Urusan Emji Group Resources, Mior Romzi Mior Othman berkata, pihaknya komited menyokong dan membantu kerajaan untuk merealisasikan pendapatan tambahan pekebun kecil yang selama ini dianggap sebagai sesuatu yang sukar dilakukan.

“Emji Group Resources dan Kohijrah mempunyai komitmen penuh untuk membantu penoreh getah dengan membeli getah kering yang ditoreh pada harga berdasarkan kepada pelaksanaan harga minimum yang memuaskan.

“Ia selaras dengan cadangan harga siling yang sedang diperkenalkan oleh LGM. Pihak kami sebenarnya mendahului dalam menyahut cabaran badan kerajaan itu dengan melaksanakannya lebih awal lagi dan usaha ini telah membuahkan hasil yang agak drastik sekali gus mewujudkan persaingan pasaran lebih sihat,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Subang Bestari dekat sini, hari ini.

Yang hadir sama ialah Pengerusi Emji Prima Resources, Datuk Dr. Mohamad Shahrum Osman.

Mior Othman memberitahu, antara usahasama yang dimeterai ketiga-tiga entiti tersebut adalah mewujudkan getah gred baharu yang akan membawa manfaat kepada golongan sasar iaitu penoreh getah.

“Apabila proses mewujudkan getah piawaian baharu ini berjaya dilaksanakan maka harga getah akan meningkat sejajar dengan peningkatan mutu getah.

“Secara lebih mendalam, sebenarnya usaha ini bakal mewujudkan usahawan getah baharu yang akan menaiktaraf hidup golongan sasar terutamanya pekebun kecil getah,” ujarnya.

Sementara itu Mohamad Shahrum berkata, usahasama ketiga-tiga pihak dalam mewujudkan getah crepe piawaian baharu turut mendapat perhatian pengeluar tayar terkenal di negara ini.

Beliau menambah, pada masa ini pihaknya memulakan usaha jual beli getah kering tersebut di beberapa negeri seperti Perak, Pahang dan Negeri Sembilan. - UTUSAN ONLINE