Pengerusi Gabungan Perikatan Pertubuhan-Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Malaysia (ACCIN), Mohd. Jamaludin Shamsudin berkata, rakyat tidak boleh sewenang-wenangnya menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada pemerintah sebaliknya rakyat dan media perlu memainkan peranan semak dan imbang dalam menyuarakan kepentingan rakyat dan negara.

Disebabkan itu, katanya, rakyat perlu memainkan peranan penting untuk menentukan hala tuju pentadbiran negara dan bukan sekadar dijemput mengundi setiap lima tahun.

“Konsep pengasingan kuasa antara cabang-cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman perlu dipastikan terpelihara dengan sebaiknya bagi mengelakkan berlakunya penumpuan kuasa mutlak di tangan individu seperti Perdana Menteri yang boleh menjurus kepada salah guna kuasa dan korupsi yang berleluasa.

“Pemimpin politik perlulah mementingkan keutamaan negara berbanding keutamaan kumpulan atau bangsa, pemerintahan negara tidak boleh dilepaskan kepada ahli politik semata-mata kerana kuasa mutlak boleh mengundang bahaya korupsi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE