Presiden Persatuan Sleep Apnea Malaysia (PSAM), Prof. Madya Dr. Louis Adaikalam menjelaskan, tempoh tersebut merupakan waktu puncak untuk seseorang itu mengantuk sekali gus boleh membawa kepada kemalangan jalan raya yang berpunca daripada masalah ‘microsleep’.

“Ini adalah dapatan kajian di seluruh dunia, bukan di Malaysia sahaja, pada waktu tersebut memang kita akan rasa mahu tidur, jadi pada mereka yang mahu memandu terutama untuk pulang ke kampung pada musim perayaan ini, sebaiknya waktu tersebut mereka kena elakkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kursus Pemanduan Berhemah dan Deprivasi Tidur di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), John Riba Marin.

Sementara itu, tambah Louis, antara faktor kemalangan jalan raya adalah tindak balas yang lambat serta ‘microsleep’ yang berlaku kepada pemandu berpunca daripada tidak mendapatkan tidur yang berkualiti serta konsisten.

“‘Microsleep’ terjadi tanpa amaran, apabila badan letih, otak akan ‘tertidur’ selama beberapa saat, walaupun mata kita terbuka dan tangan memegang stereng. Lazimnya potensi menjadi mangsa ‘microsleep’ apabila memandu jarak jauh, di jalan yang lurus ditambah dengan faktor waktu pemanduan serta keadaan kesihatan dan kecergasan pemandu.

“Kurang tidur juga membawa kepada tindak balas yang lambat kepada pemandu, sebagai contoh sekiranya terdapat kenderaan lain memasuki lorong pemanduan kita tanpa memberikan isyarat, kita mesti cekap melakukan tindak balas dengan mengelakkannya. Sebaliknya jika kita lambat bertindak balas, apa yang kita buat adalah dengan melanggar kenderaan tersebut terlebih dahulu,” katanya. - UTUSAN ONLINE