Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Musa Ahmad berkata, pada tahun 2018 terdapat 25,000 kapasiti pengambilan keseluruhan program matrikulasi dengan dasar semasa menetapkan 22,500 tempat untuk pelajar bumiputera manakala 2,500 bukan bumiputera.

“Walaupun dasar semasa menetapkan penempatan untuk pelajar bukan bumiputera seramai 2,500, kementerian telah menerima masuk 4,068 pelajar atau 1,568 pelajar lebih daripada kuota yang ditetapkan.

“Sebenarnya peluang begitu banyak untuk murid lepasan menengah melanjutkan pelajaran dalam program persediaan, termasuk tingkatan enam yang juga mendapat bantuan penuh kerajaan.

“Mereka juga boleh memohon menyertai program persediaan di universiti awam dalam program asasi atau bagi yang berkemampuan boleh meneruskan pelajaran dalam peringkat A Level. Peluang melanjutkan pelajaran ke Politeknik dan Kolej Komuniti juga terbuka luas, tanpa mengira kaum,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Musa turut mengingatkan bahawa rakyat mesti memahami bahawa pendidikan di negara ini perlu mengambil kira keadaan masyarakat majmuk yang wujud sejak sekian lama hasil daripada dasar ‘pecah dan perintah’ diamalkan oleh penjajah.

Jelasnya, Kementerian Pendidikan berpegang kepada dasar kesaksamaan atau ekuiti dalam pendidikan dengan intervensi berfokus diberikan kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira kedudukan geografi, sosio-ekonomi mahupun kaum.

“Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada 1971 masih belum sepenuhnya dapat mengurangkan dan membasmi kemiskinan. Ratusan tahun negara ini dijajah, mana mungkin dalam masa 62 tahun kita mampu untuk menyusun semula masyarakat bagi memperbetulkan ketidakseimbangan ekonomi. Hakikatnya perlu diakui bahawa terdapat golongan yang perlu dibantu berbanding kelompok lain,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha merealisasikan ekuiti dalam pendidikan juga selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa golongan berpendapatan rendah (B40).

“Dasar pengambilan ke program matrikulasi pada tahun 2019 telah memperuntukkan 60 peratus tempat kepada pelajar dari golongan B40 dan baki 40 peratus kepada golongan berpendapatan sederhana (M40) dan berpendapatan tinggi (T20),” katanya.

Justeru, beliau menambah, pelaksanaan dasar baharu yang diumumkan pada 19 April lalu adalah lebih seimbang dengan memberi peluang kepada pelajar yang layak dan pada masa sama memberi fokus kepada golongan B40 secara bersasar.

“Laporan Kanak-kanak Pinggiran Unicef Malaysia 2018 yang mengkaji 17 lokasi penempatan perumahan kos rendah mendapati kadar miskin bandar dalam kalangan kanak-kanak adalah 11 peratus, bermakna mereka tidak mendapat keperluan asas seperti makanan berkhasiat dan ada yang tidak mendapat pendidikan sewajarnya,” ujarnya.

Beliau berkata, intervensi khusus untuk mereka amat perlu dan melalui pelbagai inisiatif, kementerian tersebut sentiasa berusaha memastikan mereka tidak tercicir daripada pendidikan arus perdana dengan memberikan bantuan dalam bentuk kewangan, peluang pendidikan asas hingga pendidikan tinggi berkualiti.

“Buktikan bahawa kita berupaya untuk melihat lebih jauh dengan menjadikan kepelbagaian di negara ini sebagai satu kekuatan untuk meningkatkan kualiti kehidupan di negara tercinta,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE