Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, penganjuran ekspo tersebut bagi memberi peluang kepada rakyat Kedah melihat sendiri pembangunan serta perancangan yang dibuat kerajaan negeri.

Menurutnya, pengunjung terutama golongan muda juga berpeluang berkongsi idea serta cadangan mereka tentang pembangunan yang dimahukan untuk kemajuan Kedah pada masa depan di kluster-kluster tertentu.

“Penganjuran ekspo ini merupakan kesempatan buat kita (kerajaan BN) untuk membuktikan kepada orang ramai bahawa banyak perkara yang dituduh tidak betul (soal pembangunan dan kemajuan di Kedah)... tular perkara yang mengelirukan.

“Jadi, kita mahu rakyat Kedah khususnya datang ke ekspo ini untuk melihat pembangunan yang dilaksanakan dan perancangan kerajaan negeri pimpinan BN,” katanya selepas Majlis Pra Pelancaran dan Pameran Ekspo Muafakat Kedah di sini hari ini.

Ekspo yang diadakan di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini itu dijangka dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi manakala perasmian penutup oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahmad Bashah memberitahu, ekspo terbesar yang julung kali diadakan itu terbahagi kepada 20 kluster seperti Kluster Pameran Diraja, Barakah Kedah, Suara Hati Kedah, Generasi Muda, Kedah Islami dan Kedah Digital dengan penglibatan 199 agensi dan jabatan, 15 acara utama dan 119 acara sampingan.

“Peluang pekerjaan juga ditawarkan kepada golongan muda serta 6,000 rumah dijual pada harga berpatutan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE