Lagu bernuansakan dangdut itu dikatakan telah mengeksploitasi tubuh sasa seorang lelaki yang juga model muzik video berkenaan dalam keadaan separa bogel.

Sebahagian netizen atau warganet menyifatkan ‘teaser’ pengenalan lagu itu sebagai ‘keterlaluan’ dan bertentangan dengan adab Melayu, meskipun belum dapat melihat video muzik penuh lagu itu.

Shiha Zikir ketika dihubungi meminta warganet dan peminat agar bertenang sebelum membuat sebarang andaian.

“Sudahkah anda melihat muzik video Pipiyama? Rasanya ia hanya akan dilancarkan pukul 8 malam ini.

“Jadi bagaimanakah anda membuat telahan bahawa muzik video itu mengeksploitasi tubuh lelaki dalam keadaan separa bogel?

“Saya mohon peminat dan umum tonton dahulu muzik video itu sebelum membuat sebarang andaian,” pinta Shiha.

Jelas Shiha, babak dedah tubuh itu sebenarnya ingin menunjukkan perbezaan di antara lelaki bujang dan duda.

Ini kerana terdapat mesej yang ingin disampaikan menerusi lagu nukilan komposer dan penulis lirik dari seberang, Atra Petrana.

“Lelaki bujang biasanya dikaitkan dengan fizikal dan rupa paras yang kacak.

“Manakala lelaki yang berkahwin atau berstatus duda, mungkin penampilan kurang segak tetapi banyak wang.

“Bagi saya ini adalah satu persepsi yang normal,” katanya.

Ditanya adakah lagu ini mempunyai kaitan dengan kehidupan peribadinya, Shiha mengakui, dia pernah mengalami situasi seperti ini.

Walau bagaimanapun beliau bersikap terbuka menerima jodohnya sama ada lelaki bujang atau duda asalkan bukan suami orang. - UTUSAN ONLINE