Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, inisiatif seumpama itu sekali gus mempamerkan kerjasama antara negara terlibat kepada dunia dan memperkukuhkan hubungan antara satu sama lain.

Jelas beliau, kerjasama seumpama itu dapat menyediakan mereka menghadapi potensi-potensi ancaman keamanan dan kemakmuran sejagat.

“Kita perlu sedar bahawa nasib semua negara bergantung kepada satu sama lain. Keselamatan dan kestabilan rantau ini datangnya daripada usaha bersama kita.

“Dengan kerjasama ini, kita dapat membantu dalam membentuk masa depan yang lebih baik serta dunia yang lebih makmur. Ini adalah tuntutan mendesak bagi kita semua dan kita berupaya mencapainya kelak,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian eksesais berkenaan di sini hari ini.

Eksesais itu melibatkan 19 aset pertahanan maritim dari 10 negara termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat (AS), Thailand dan Korea Selatan.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, eksesais tersebut dapat mempertingkatkan lagi persefahaman antara negara-negara terlibat dalam hal ehwal operasi maritim serantau dan global.

“Apa yang penting, usaha ini dapat memberi manfaat kepada semua negara yang terlibat terutama dalam memastikan kemakmuran dan keamanan sejagat terpelihara,” katanya.