Titah baginda, walau bagaimanapun, kedua-dua pihak hendaklah terlebih dahulu memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan di negara-negara berkenaan seperti perolehan sijil halal, Amalan Pengilangan Yang Baik (GMP) dan sijil-sijil berkaitan bagi memudahkan pemasaran produk di kedua-dua negara.

Titah baginda, pada masa yang sama, kapasiti pengeluaran produk hendaklah berupaya memenuhi tahap permintaan di dalam dan luar negara.

“Selain daripada itu, kajian pasaran, strategi penjualan dan produk yang sesuai perlu dibuat bagi memahami cita rasa serta permintaan semasa,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyerahkan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada Masjid Ban Lok Bara Saladan, di Wilayah Krabi, Thailand semalam.

Sumbangan tersebut diserahkan Setiausaha Jawatankuasa Masjid Chanon, Naknan Muhummaddi yang bertujuan untuk kegunaan aktiviti dakwah, pengajian dan kemasyarakatan di masjid berkenaan.

Berangkat sama pada majlis itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut berangkat anakanda-anakanda baginda berdua, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail; Puteri Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.- UTUSAN ONLINE