Tampil menubuhkan sebuah produksi yang dinamakan Winner Dynasty Films & Entertainment, Eddie yang berperanan sebagai Pengerusi dan Pengarah Eksekutif syarikat berkenaan memutuskan untuk kembali aktif dalam bidang penerbitan dengan misi dan visi baharu.

"Sepanjang tempoh 10 tahun lalu, sebenarnya saya bukanlah berehat terus dari lapangan seni. Sebaliknya saya menceburkan diri dalam bidang penerbitan iklan dan dokumentari di China.

"Tiga tahun kebelakangan ini, saya bersyukur kerana kehadiran saya di sana dilihat sebagai antara pemain utama dalam pengeluaran filem dan kandungan digital," katanya kepada Utusan Online.

Bukan itu sahaja, Eddie menambah, dia juga sibuk meluangkan masa bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat antarabangsa yang membantu mencegah penderaan dan kekejaman terhadap haiwan.

"Kini, sudah tiba masanya kembali berada di landasan yang telah saya tinggalkan dengan pembaharuan matlamat serta semangat untuk berjaya.

"Saya mahu menyelesaikan komitmen dan dedikasi saya kepada industri perfileman tempatan seterusnya melayari takdir saya," katanya menanam tekad.

Justeru, Eddie menerusi syarikatnya bakal menerbitkan tiga buah filem sekali gus berjudul Duality, The Dead Zone dan Over My Dead Body.

"Duality adalah filem dwibahasa yang dituturkan dalam bahasa Melayu dan Inggeris, sementara The Dead Zone pula adalah filem Melayu sepenuhnya.

"Over My Dead Body adalah usahasama dua negara antara Malaysia dan China," jelasnya secara ringkas.

Selama 30 tahun terlibat dalam dunia pengarahan dan penerbitan, Eddie berharap kemunculan semulanya dapat diterima baik oleh peminat filem tempatan. - UTUSAN ONLINE