Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, antara perkara yang akan dikemukakan untuk dipertimbangkan ialah mengenai jumlah stesen jajaran baharu yang berkurang kepada enam berbanding jajaran lama sebanyak lapan stesen.

“Permintaan kita supaya jajaran yang dicadangkan mereka bersesuaian dengan perancangan kerajaan negeri dan inisiatif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), jadi apa jua laluan dan stesen yang dibuat mestilah mengambil kira kepentingan untuk rakyat.

“Sebelum majlis pelancaran pada minggu depan kita akan berbincang dengan ketua Pegawai Eksekutif MRL dari segi jajaran dan keperluan tambahan kerajaan negeri.

Apa-apa boleh berlaku jadi kami akan terus berunding,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-14 di sini hari ini.

Terdahulu, ketika menjawab soalan lisan wakil kerajaan, Saiful Azmi Suhaili (Pas-Kemasik), Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri telah mengambil beberapa langkah untuk menambah nilai projek ECRL termasuk mengadakan perbincangan sebanyak empat kali dengan pihak MRL iaitu pada 23 April, 12 Jun disusuli 17 dan 25 Julai lalu di samping pertemuan dengan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, kerajaan negeri akan mewujudkan ‘spur line’ dari hentian Chukai terus ke Pelabuhan Kemaman bagi memastikan anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) dapat menjana keuntungan daripada projek ECRL.

Katanya, langkah itu dapat memangkin pembangunan Pelabuhan Kemaman dengan lebih pesat menerusi pertambahan kuantiti kargo, keuntungan kos pengendalian pelabuhan dan kadar kepenggunaan pelabuhan yang maksimum serta efektif.

“Kita yakin penambahan spur line ini akan dapat meningkatkan minat pelabur baharu ke Terengganu dan menambah keyakinan pelabur sedia ada untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

“Kerajaan negeri dan EPIC juga melakukan kaji selidik jajaran ECRL dengan lebih teliti bagi melihat peluang ekonomi yang dapat membantu menaik taraf sosioekonomi penduduk setempat termasuk pembinaan kawasan industri baharu, perumahan mampu milik dan infrastruktur pelancongan,” katanya. - UTUSAN ONLINE