Terletak kira-kira 49 kilometer (km) dari Seremban dan 64 km dari Bukit Ampang, Selangor, kawasan ini dijangka mengalami pembangunan pesat baik dari sudut sosio-ekonomi, infrastruktur dan peluang pekerjaan.

Ramai dalam kalangan penduduk Jelebu, kawasan yang sebelum ini terkenal dengan kawasan syurga durian, menaruh harapan agar projek berkenaan yang disambung semula pembinaannya dengan jajaran baharu meliputi Negeri Sembilan, dapat turut membantu membangunkan sektor pelancongan di daerah ini.

Selain durian, Jelebu terkenal dengan kawasan pengeluaran nanas MD2.

Tukang gunting rambut, S.Ravisanthiran, 53, yakin projek berkenaan akan dapat mengubah landskap Jelebu dari sebuah tempat yang terpencil dan kurang dikenali, menjadi sebuah kawasan yang bakal dilimpahi pembangunan infrastruktur baharu dan moden.

“Ia akan meningkatkan lebih ramai pelabur dan pemaju untuk membuka kawasan perindustrian selain mendorong kepada peningkatan perumahan. Ini secara tidak langsung membuka banyak peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Bagi Muhamad Ridzuan Abdul Rahim, 26, pula, peluang pekerjaan masyarakat di Jelebu pastinya akan berubah daripada tertumpu kepada kegiatan ekonomi seperti menoreh getah dan berkebun kepada pekerjaan menjurus ke arah industri seperti perkilangan.

“Ia adalah amat bagus dan sudah tentu saya melihat ada peluang pekerjaan khususnya dalam sektor perindustrian di mana penyambungan antara pelabuhan Kuantan dan pelabuhan Klang dengan jajarannya turut memasuki Jelebu menjadikan kawasan sekitar jajaran sesuai untuk pembinaan kawasan perindustrian.

“Anak muda kini tidak perlu lagi berhijrah ke daerah atau negeri lain untuk mencari pekerjaan sekiranya banyak industri dibangunkan di kawasan ini,” kata pekerja swasta itu.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada 12 April lepas mengumumkan projek ECRL akan disambung semula pada kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) di antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Menurut kenyataan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL kini dikurangkan kepada RM44 bilion, pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asalnya RM65.5 bilion.

Pembinaan ECRL berkenaan akan menyaksikan jajaran baharu iaitu Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya dan seterusnya Pelabuhan Klang.

Pemilik kedai runcit, Mohd. Yakub Mohd. Amin, 56, yang menyifatkan ia sebagai agenda terbaik kerajaan berkata pembukaan stesen di kawasan itu bakal merancakkan lagi sektor peruncitan.

Sementara itu, pemilik kedai alatan memancing, Chia Khee Yin, 56, berkata, selain dapat memacu pertumbuhan ekonomi setempat dan penambahbaikan infrastruktur di kawasan itu, ia juga mampu meningkatkan lagi jumlah kehadiran pelancong ke Jelebu.

“Selalunya pada musim durian, kawasan di sini sentiasa dipenuhi pelancong. Jika adanya ECRL ini, sudah tentu memudahkan urusan perjalanan pelancong selain akan membawa lebih ramai pelancong dari luar untuk singgah ke Jelebu kerana kawasan ini selain mempunyai durian turut terdapat pelbagai destinasi pelancongan menarik seperti Lata Kijang, Jeram Toi dan Gunung Besar Hantu,” katanya.

Bagi pekerja swasta, Salehudin Daut, 36, ECRL juga memberi kemudahan kepada penduduk di Jelebu mendapatkan perkhidmatan pengangkutan selain perkhidmatan bas dan teksi. - BERNAMA