Melalui perkongsian teknologi dan kepakaran bersama dengan dua syarikat yang sudah mantap dan berpengalaman luas dalam lapangan masing-masing dapat membantu melebarkan lagi jaringan perniagaan, sebagai pemain industri seiring dengan pembangunan projek berimpak tinggi itu.

Ia bagi menawarkan perkhidmatan berkaitan pembinaan dan pengoperasian sistem kereta api kelas dunia yang turut merentasi sepanjang 230 kilometer dalam negeri ini dengan penyediaan lapan stesen, melibatkan kos dianggarkan RM18 billion daripada RM55 billion pelaburan keseluruhannya.

MoU itu dimeterai di Wisma Darul Iman di sini hari ini dengan turut disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman di samping Setiausaha Kerajaan, Datuk Wan Wan Nawawi Wan Ismail dan Pengerusi EPIC, Datuk Tengku Mahamad Tengku Mahamut.

EPIC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Noor Fadzil Mohamed Nor manakala T7 Global Bhd. oleh Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Nik Norzul Thani sementara CMC Engineering oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hazwan Alif Abdul Rahman.

Berucap dalam majlis tersebut, Ahmad Razif berkata, sistem perhubungan darat di pantai timur akan melalui lonjakan perubahan dengan siapnya projek ECRL pada 2024 di samping memberi banyak impak ke arah perkembangan sosio-ekonomi setempat sepanjang lebih 600 kilometer laluannya.

"Selain peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat, saya berharap limpahan faedah projek ini akan dirasai oleh penggiat-penggiat industri dan para kontraktor tempatan sama ada melalui EPIC dan lain-lain.

"Suatu yang merugikan  sekiranya kita tidak gunakan peluang besar ini untuk memakmurkan rakyat dari segi peningkatan pendapatan tetapi juga keupayaan rakyat dalam aspek kemahiran teknikal seperti bidang kejuruteraan dan pengurusan bertaraf dunia," ujarnya.

Beliau berharap usaha bersama dalam proses penglibatan dalam projek ECRL menjadi permulaan untuk terus meneroka pelbagai lagi peluang atas dasar 'menang-menang' bagi memberi pulangan kepada rakyat dan negeri. - UTUSAN ONLINE