Malah Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Senator Datuk Razali Idris menyifatkan langkah untuk meneruskan pembinaan enam stesen ECRL termasuk di Cukai, Kemasik, Dungun, Pengkalan Berangan dan Kampung Raja sebagai tanda kecaknaan kerajaan kepada rakyat.

“Usaha ini akan dapat membantu ekonomi rakyat setempat dengan melahirkan lebih ramai lagi usahawan di kawasan terbabit. Rakyat perlu berterima kasih di atas sikap prihatin kerajaan Pusat.

“Syabas kepada pihak kerajaan kerana turut berjaya mengurangkan perbelanjaan sebanyak 21.5 bilion serta pertambahan kontraktor tempatan kepada 40 peratus berbanding 30 peratus sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Razali, dengan perkembangan itu, ia secara tidak langsung mampu memberi peluang kepada banyak usahawan sama ada besar ataupun kecil bakal terlibat sekali gus merancakkan industri sampingan termasuk inap desa dan perniagaan runcit.

Razali menyatakan demikian sebagai mengulas jaminan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin yang meminta rakyat Terengganu tidak perlu gusar dan keliru dengan keputusan jajaran baharu ECRL meskipun terdapat pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion menjadikan projek bekenaan kini bernilai RM44 bilion berbanding RM65.5 bilion sebelum ini.

Malah ketika bercakap di Kuala Terengganu kelmarin Daim turut nemberi jaminan jajaran membabitkan enam stesen di negeri ini kekal. - UTUSAN ONLINE