Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, jumlah pinjaman itu pada asalnya untuk projek ECRL, namun selepas mengadakan perbincangan dengan kontraktor dari China, pinjaman itu turun sebanyak 20 bilion.

“Duit yang sepatutnya kita gunakan untuk rakyat terpaksa digunakan untuk membayar hutang. Baru-baru ini kita bayar cuma faedahnya sahaja RM200 juta. Setiap enam bulan perlu bayar RM200 juta kerana Datuk Seri Najib Tun Razak berhutang sehingga RM55 bilion.

“Jumlah RM55 bilion itu ceritanya adalah (pinjaman) hendak membuat projek ECRL, tetapi kita berbincang dengan kontraktor dari China ini bahawa daripada RM55 bilion turun RM20 bilion jadi tinggal RM35 bilion sahaja.

“Ini bermakna projek ini boleh dibuat dengan harga RM35 bilion tetapi kenapa kontrak ni sampai berharga RM55 bilion? Mungkin kerana hendak curi duitlah itu,” katanya dalam sidang akhbar Sambutan Hari Landskap Negara 2019 di Taman Botani di sini hari ini.

Sebelum ini, Dr. Mahathir memberi bayangan kontrak berjumlah RM81 bilion bagi projek ECRL kepada kontraktor utama, China Communication Construction Company Ltd. (CCCC) berkemungkinan ditamatkan.

Ini kerana kerajaan tidak dapat menanggung beban kewangan yang dianggarkan berjumlah lebih RM100 bilion jika projek mega itu tetap diteruskan.