Malah, sukan fizikal akan terus diperkasakan disamping kemasukan kategori e-sport sebagai pengiktirafan kepada aktiviti anak muda sekarang.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, perkembangan teknologi dan minat orang dalam permainan game semakin bertambah dan ia wajar diiktiraf dalam temasya sukan termasuk Sukan Malaysia (Sukma) 2018 nanti.

"Konsep sukan juga harus berubah mengikut perkembangan teknologi dan peredaran semasa dan e-sport kini diminati ramai orang terutama golongan muda.

"Dakwaan mengatakan e-sport akan pinggirkan sukan fizikal adalah tidak benar kerana kedua-duanya akan bergerak seiring," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan The Kuala Lumpur Major; DOTA Pro Circuit (DPC) musim 2018/2019.

The Kuala Lumpur Major DPC merupakan sebuah pertandingan permainan video Defence of The Ancient (DOTA) yang akan berlangsung pada 16 hingga 18 November 2018 di Axiata Arena, Bukit Jalil dan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai AS$1 juta.

Turut hadir dalam majlis itu ialah, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dab Ketua Pegawai Eksekutif PGL E-Sports, Silviu Stroie.

Tambah beliau, Malaysia merupakan negara berpotensi untuk berkembang dan berdaya saing dalam bidang e-sport kerana mempunyai pengguna internet yang ramai.

"Malaysia merupakan antara enam negara terbesar di Asia Tenggara yang memiliki 98 peratus peminat e-sport.

"Justeru, negara ini berpotensi bersar dalam bidang sukan itu dan kita menjangkakan jumlah peminatnya akan bertambah sehingga 19.8 juta pada tahun 2019 berbanding 9.5 juta pada 2016," ujarnya.

Ujar Syed Saddiq lagi, kementeriannya akan bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk membangunkan bidang e-sport yang akan menjadi salah satu acara dalam Sukma 2018 dan Sukan Asia pada 2022 nanti. - UTUSAN ONLINE