Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia, Tarang Gupta berkata, sebaik menerima aduan, pihaknya terus menghubungi pelanggan dan menjalankan semakan terperinci.

“Dan selaras prosedur syarikat, sampel produk turut diperoleh dan dihantar ke makmal untuk dianalisis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tarang berkata, pihaknya juga telah bertemu dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akan bekerjasama dalam usaha mengatasi perkara ini.

Katanya, keputusan penuh akan diumumkan selepas proses siasatan diselesaikan.

Isu berkenaan yang menjadi tular di media sosial meresahkan pengguna yang rata-rata membeli produk berkenaan bagi kegunaan anak mereka.

Antara perkara dibangkitkan oleh netizen di media sosial sejurus menggunakan produk Dutch Lady Curious (900g), termasuk bintik-bintik ruam, dan muntah-muntah sejurus anak mereka meminum produk berkenaan.

Tarang menambah, insiden tersebut tidak dipandang ringan oleh pihaknya dan beliau memberi jaminan bahawa kesihatan dan kesejahteraan pengguna sentiasa menjadi keutamaan.

"Buat masa ini, penemuan awal daripada proses kawalan kualiti dalaman menunjukkan bahawa produk kami tidak mempunyai sebarang kekurangan dari segi kualiti dan susu kami selamat untuk diminum," katanya.

Berkenaan isu kesahihan produk, Tarang berkata, penularan maklumat yang tidak tepat berkenaan pembungkusan produknya turut tersebar ketika para netizen berkongsi kebimbangan mereka.

"Oleh itu, bagi melindungi kepentingan pelanggan, kami perlu memperbetulkan spekulasi terhadap beberapa butiran pembungkusan kami yang telah disalah-anggap sebagai penunjuk produk palsu," katanya.

Dutch Lady ingin menjelaskan bahawa ciri-ciri di bawah terdapat dalam semua produk Dutch Lady yang sahih:

  • · Kod kelompok yang bermula dengan nombor 100, 101, 102 dan 103
  • · Tarikh luput yang berakhir dengan (R), (W1), (W2), dan (W3)
  • · Variasi pembungkusan yang mepunyai perkataan “Calcium” dan “Kalsium”
  • · Variasi pembungkusan yang menunjukkan logo FrieslandCampina bersama dan tanpa kotak putih.

"Kami ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu yang boleh menimbulkan keresahan pengguna lain," tambahnya.

Infografik
Infografik ihsan Dutch Lady Malaysia

Untuk pertanyaan lanjut mengenai produk Dutch Lady, pengguna boleh menghubungi Careline Dutch Lady di 1800-88-1191 atau melalui e-mel di [email protected] - UTUSAN ONLINE