Ketika rakyat Malaysia menjadikan negara kanggaru itu untuk berhijrah memulakan kehidupan baharu, melancong, melanjutkan pengajian, mengembangkan kerjaya dan menonton acara sukan atau riadah, Timbalan Persuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Michael Growder, pula berpandangan bahawa negara ini tetap memiliki keistimewaan tersendiri dari kaca mata rakyatnya.

Sebenarnya, sebagai negara bekas jajahan British, hubungan Malaysia-Australia terjalin rapat sejak era Perang Dunia Kedua lagi.

Growder yang pernah ber­khidmat di Vietnam dan China me­ngakui, rakyat Malaysia begitu me­ngenali Australia hasil pelbagai bentuk hubungan yang terjalin.

Beliau yang sudah berkhidmat selama setahun di Suruhanjaya Tinggi Australia di Malaysia berkata, antara kelebihan Malaysia ialah keindahan alam sekitar, rakyat yang hidup harmoni dalam kepelbagaian kaum, peramah dan bersikap terbuka.

Growder kagum melihat Malaysia mengalami pembangunan yang pesat, dan menjadi contoh terbaik bagaimana sebuah negara yang pernah dijajah oleh British boleh bangkit untuk terus membangun.

Beliau melihat sejarah negara dalam tempoh 60 tahun amat membanggakan apabila hampir sepenuhnya dapat menghapuskan kemiskinan tegar, menarik pelaburan asing serta menggunakan teknologi tinggi.

“Tidak banyak negara mengalami kejayaan dalam tempoh se­perti mana Malaysia lalui. Di rantau Asia Tenggara, Malaysia boleh dijadikan contoh bagaimana sebuah negara dapat diba­ngunkan dengan baik,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelasnya, terdapat banyak persamaan antara kedua-dua negara iaitu dari segi saiz bilangan penduduk dengan Malaysia kira-kira 30 juta manakala Australia dalam 25 juta, serta corak sistem pentadbiran yang hampir serupa.

Persamaan lain ialah Malaysia dan Australia dianggap sebagai negara bersederhana yang bukan merupakan kuasa besar, tetapi tetap memainkan peranan pen­ting di peringkat serantau.

Katanya, impak yang sangat besar dalam memastikan Malaysia dan Australia akrab ialah me­lalui pendidikan apabila ribuan rakyat Malaysia telah melanjutkan pe­ngajian di negara tersebut.

Antara beberapa nama yang merupakan alumni universiti Australia ialah Menteri Kewa­ngan, Lim Guan Eng, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Tan Sri Ranjit Ajit Singh dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus.

Mengulas mengenai isu semasa di Malaysia, beliau melihat proses pilihan raya dan peralihan kerajaan secara aman pada Mei lalu membuktikan kematangan demokrasi di Malaysia, yang bagi­nya adalah sesuatu yang perlu dibanggakan.

“Telah lebih 100 hari kerajaan Pakatan Harapan memerintah dan beberapa dasar sedang dijayakan. Seandainya ada perkara yang kerajaan Malaysia ingin mendapatkan kerjasama Austra­lia, kami sedia membantu,” katanya.

Sepanjang 2017, perdagangan dua hala antara Malaysia dan Australia bernilai sekitar AUS$20 bilion (RM59 bilion) terutamanya membabitkan dagangan komoditi sumber asli.

Tambahnya, kedutaan Australia di Malaysia juga telah me­ngadakan perjumpaan dengan beberapa menteri dan beliau melihat banyak lagi perkara yang boleh dikongsi antara kedua-dua negara yang tidak terhad menerusi hubungan antara kerajaan semata-mata.

Misalnya, beliau memberi contoh hubungan kumpulan media Australia dan Malaysia juga boleh dipertingkatkan terutama setelah kerajaan Pakatan Harapan sendiri menekankan aspek kebebasan media.

Growder pada masa sama turut melahirkan rasa kagum terhadap komitmen Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang masih bertenaga dan berstamina untuk mentadbir negara ini pada usia 93 tahun.

“Kami ingin tahu juga rahsia beliau mengekalkan tenaganya. Beliau kini dilihat cukup fokus menjalankan tugas,” katanya.

Edisi Khas Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia

Video wawancara di www. utusan.com.my