World #QuranHour diadakan serentak di lebih 2,100 lokasi yang berdaftar dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) untuk dalam negara dan lebih 79 lokasi dari 27 buah negara luar.

Di Lembah Klang, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan berangkat ke majlis bacaan World #QuranHour yang dijalankan di

Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak dekat sini.

SEBAHAGIAN 3,000 hadirin yang menyertai World #QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universit
SEBAHAGIAN 3,000 hadirin yang menyertai World #QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah UIAM Gombak, Selangor hari ini. - UTUSAN ONLINE/AMIN FARIJ 

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan bersama-sama lebih 3,000 peserta World #QuranHour membaca al-Quran.

Turut hadir bagi mengiringi Sultan Nazrin ialah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dan Pengasas WUIF, Datuk Hussammuddin Yaacub.

Para peserta yang mengambil bahagian berkumpul di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah seawal pukul 10.30 pagi dan bacaan al-Quran dimulakan serentak pada pukul 12 tengah hari.

Pada tahun ini, penganjur memilih bacaan surah al-Kahfi.

Majlis dimulakan bacaan surah al-Kahfi dari ayat satu sehingga ayat 110 dengan dipimpin oleh 12 qari yang dibaca secara bergilir-gilir.

Selepas bacaan tamat, berlangsung sesi tadabbur surah al-Kahfi oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail dan Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah UIAM, Prof. Madya Dr. Habeeb Rahman Ibramsa.

Majlis diteruskan dengan bacaan ikrar al-Quran oleh penyampai radio, Mohammad Kareef Daniel Abdullah atau dikenali Mat Dan; Penolong Penerbit Astro, Ibrahim Hajjar dan Mohamad Naja Nathan Azman.

Selepas program tamat, Sultan Nazrin berkenan menunaikan solat zohor bersama hadirin secara berjemaah dan kemudian berangkat pulang. - UTUSAN ONLINE