Ini melibatkan Taman Negeri Lawit-Cenana di Kenyir Hulu Terengganu dan Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetland) - dua kawasan yang kaya dengan flora dan fauna di samping spesies terancam bagi memastikan ia terpelihara tanpa terjejas dengan pembangunan serta aktiviti lainnya.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu, keluasan Taman Negeri Lawit -Cenana yang telah diwartakan bagi fasa pertama ialah 10,386 hektar daripada keluasan sebenar 15,000 hektar.

“Keluasan tanah yang telah diwartakan untuk Taman Negeri Tanah Bencah Setiu fasa pertama pula ialah 432.4 hektar manakala 1,088.32 hektar meliputi kawasan tasik berombak kini dalam proses untuk diwartakan bagi fasa kedua,”ujarnya.

Beliau menyatakan demikan kepada pemberita tentang keputusan kerajaan negeri itu hasil langkah yang telah digerakkan sejak beberapa tahun lalu, selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Menurut beliau, pengisytiharan ini melambangkan sebahagian usaha dan komitmen kerajaan negeri dalam melindungi warisan asli dan alam semulajadi negeri.

“Asas pewartaan ini mengambil kira beberapa faktor utama seperti kawasan tadahan air yang mengurangkan risiko banjir. Kita mengharapkan ini akan membantu pemeliharaan kawasan itu yang turut menyumbang kepada sumber elektrik dan bekalan air bersih.

“Ia juga dikenal pasti sebagai kawasan utama pemeliharaan pelbagai flora dan fauna termasuk spesies haiwan terancam, seperti gajah Asia (Elephas Maximus), tapir Malaysia (Tapirus Indicus) dan harimau Malaya (Panthera Tigris Tigris) di Kenyir manakala tuntung laut (Callagur Borneoensis) serta penyu agar (Chelonia Mydas) di Setiu.

Di samping itu katanya, kawasan berkenaan disasarkan untuk menjadi kawasan burung penting oleh Birdlife International dengan 291 spesies burung dalam sempadannya, malah terdapat sembilan spesies enggang di Taman Negeri-Lawit Cenana.

Menurut beliau, Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu yang dianggotai oleh wakil daripada agensi Pusat dan negeri telah diberi tanggungjawab untuk mengendalikan kawasan berkenaan.

“Majlis ini akan bertangungjawab mengawal dan mengurus Taman Negeri termasuk memastikan pihak berkepentingan dalam industri ekopelancongan dan penduduk tidak menjejaskan keadaan sekitar,” ujar beliau. - UTUSAN ONLINE